Risalah Pengetahuan Pesakit

Ubat Steroid

Mengapakah saya diberi ubat steroid?

Steroid digunakan untuk merawat penyakit radang sendi dan penyakit autoimun seperti ‘systemic lupus erythematosus’ (SLE), penyakit radang saluran darah serta penyakit radang otot. Steroid berkesan untuk mengurangkan keradangan dan bengkak sendi dalam rawatan penyakit radang sendi ‘rheumatoid arthritis’. Ubat steroid cuma meredakan penyakit tersebut dan bukannya menyembuhkan penyakit.

Ubat steroid boleh diberi dalam beberapa cara. Ia boleh didapati dalam bentuk pil, ia boleh diberi secara ‘intramuscular’(iaitu ke dalam otot) atau ke dalam saluran darah, dan ia juga boleh disuntik ke dalam sendi.

Ubat prednisolone merupakan ubat steroid yang paling lazim diberi oleh doktor. Sesetengah steroid seperti hormon kortisol, didapati secara semulajadi di dalam tubuh badan kita.

 

Bilakah dan bagaimanakah saya mengambil ubat prednisolone?

Prednisolone dibekalkan dalam bentuk pil dan dosnya adalah 5mg sebiji. Ia biasanya diambil sekali sehari, iaitu pada waktu pagi. Ia boleh dimakan bersama makanan ataupun tanpa makanan. Kadang-kala prednisolone diberi secara selang sehari.

 

Apakah dos ubat yang patut saya ambil?

Doktor anda akan menasihati anda mengenai dos ubat yang sesuai. Dos prednisolone adalah bergantung kepada jenis penyakit yang dirawat serta berat badan anda. Anda mungkin diberi dos prednisolone yang tinggi pada peringkat awal rawatan dan dos ini akan dikurangkan kemudiannya apabila penyakit anda semakin reda. Sekiranya anda telah menerima rawatan prednisolone untuk jangka masa yang panjang, doktor anda akan mengurangkan dos ubat anda dengan perlahan-lahan.

Kadang-kadang doktor anda akan memberi anda ubat prednisolone pada dos yang rendah untuk jangkamasa yang lama kerana ia perlu untuk mengawal aktiviti penyakit anda.

Anda dinasihati agar jangan sesekali berhenti memakan ubat prednisolone ataupun mengubah dos prednisolone tanpa nasihat doktor. Memberhentikan ubat steroid/prednisolone secara tiba-tiba boleh membawa kesan mudarat.

 

Bilakah saya akan merasai kesan ubat prednisolone?

Ubat prednisolone memberi kesan dengan segera. Biasanya anda akan merasai kesan ubat ini dalam masa beberapa hari sahaja.

 

Apakah kesan-kesan sampingan ubat prednisolone?

Pengambilan ubat prednisolone pada dos yang tinggi dan untuk jangkamasa yang panjang akan mengakibatkan beberapa masalah perubatan. Biasanya doktor anda akan cuba mengurangkan dos prednisolone ke dos yang serendah mungkin di samping memastikan penyakit anda dikawal dengan baik.

Pada kebanyakan masa, ubat prednisolone diperlukan untuk merawat penyakit anda. Oleh itu komplikasi yang anda mungkin hadapi semasa mengambil ubat prednisolone serta manfaatnya dalam rawatan penyakit merupakan persoalan yang sering diberi pertimbangan. Sekiranya anda mengambil ubat prednisolone dalam dos yang kecil, anda tidak mungkin menghadapi sebarang masalah.

Kesan-kesan sampingan yang lazim dihadapi adalah:

  • peningkatan berat badan
  • muka menjadi semakin bulat
  • tulang menjadi semakin rapuh atau 'osteoporosis'
  • mudah mengalami lebam pada kulit
  • rasa ketidakhadaman
  • sakit perut
  • kulit menjadi semakin nipis
  • kelemahan otot badan terutamanya pada bahagian bahu dan paha
  • perubahan dalam 'mood' (misalnya, mengalami kemurungan)
  • 'cataract' (kanta mata menjadi 'opaque')
  • peningkatan paras gula dalam darah dan kesukaran mengawal penyakit kencing manis
  • kesukaran mengawal penyakit sawan sekiranya anda mengalami penyakit ini
  • menyebabkan penyakit 'glaucoma' semakin teruk
  • peningkatan tekanan darah

Anda lebih mudah mengalami jangkitan kuman semasa menerima rawatan prednisolone.

Walaupun anda tidak mengalami demam panas, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti batuk, rasa letih, sakit perut, cirit-birit, kesakitan dan kekerapan membuang air kecil.

Sekiranya anda terdedah kepada pesakit yang mengidapi penyakit cacar air atau kayap, ataupun anda mengidapi penyakit tersebut, anda dinasihati berjumpa doktor dengan segera kerana anda mungkin memerlukan rawatan khas untuk jangkitan itu.

Ubat steroid/prednisolone boleh merencatkan tumbesaran kanak-kanak. Akan tetapi, sesetengah penyakit yang memerlukan rawatan steroid sememangnya boleh menyebabkan kerencatan tumbesaran.

 

Apakah 'osteoporosis' dan bagaimanakah saya dapat mengurangkan risiko mengalami keadaan ini?

'Osteoporosis' bererti keadaan di mana tulang menjadi rapuh dan seterusnya mudah patah. Seperti yang telah dinyatakan di atas, pengambilan steroid untuk jangkamasa yang panjang akan menyebabkan 'osteoporosis'.

Anda dinasihatkan untuk mematuhi saranan yang berikut untuk mengurangkan risiko mengidap 'osteoporosis'. Di samping itu, anda boleh juga mendapat nasihat daripada doktor anda.

  • Pastikan jumlah pengambilan kalsium dalam makanan anda adalah sekurang-kurangnya 1.5g sehari.
  • Anda digalakkan bersenam selama sekurang-kurangnya 30minit setiap hari. Senaman yang disarankan adalah senaman yang memerlukan anda berjalan ataupun berlari.
  • Jauhilah dari menghisap rokok dan mengambil minuman keras.
  • 'Hormone replacement therapy' (HRT) mungkin memberi manfaat terutamanya pada wanita yang mengalami 'menopause'
  • Hormon testosterone boleh memberi manfaat pada kaum lelaki yang mengalami kekurangan hormon tersebut.
  • Anda boleh mendapat nasihat yang lebih lanjut daripada doktor anda mengenai rawatan dengan ubat 'calcitonin' ataupun 'bisphosphonates' seperti 'Fosamax', untuk menguatkan tulang anda.

 

Adakah saya perlu menjalani sebarang pemeriksaan khas semasa menerima rawatan prednisolone?

Anda akan menjalani pemeriksaan fizikal secara am dari masa ke semasa, termasuk pengambilan berat badan, tekanan darah dan paras gula dalam darah.

 

Bolehkah saya mengambil prednisolone bersama dengan ubat-ubatan lain?

Sesetengah ubat-ubatan boleh berinteraksi dengan prednisolone. Oleh itu anda dikehendaki memberitahu mana-mana doktor yang merawat anda bahawa anda sedang menerima rawatan ubat prednisolone. Jauhilah daripada mengambil ubat dengan sendiri tanpa nasihat doktor. Walaubagaimanapun, kebanyakan ubat boleh diambil bersama prednisolone tanpa sebarang masalah.

 

Bolehkah saya mengambil suntikan imunisasi semasa menerima rawatan prednisolone?

Anda mesti mengelakkan daripada mengambil sebarang suntikan imunisasi yang menggunakan vaksin hidup seperti vaksin BCG, polio, mumps, measles dan rubella.

 

Apakah kesan prednisolone terhadap wanita mengandung?

Anda boleh menerima rawatan prednisolone semasa anda mengandung. Rawatan dengan ubat ini mestilah dilakukan atas nasihat doktor. Sekiranya anda bercadang untuk mengandung ataupun anda sudah mengandung semasa menerima rawatan prednisolone, anda perlu berbincang dengan doktor anda secepat mungkin. Sekiranya anda ingin menyusu bayi, anda juga perlu mendapat nasihat daripada doktor anda dengan segera.

 

INGAT:

JANGAN SESEKALI BERHENTI MEMAKAN UBAT PREDNISOLONE SECARA TIBA-TIBA DAN JANGAN MENGUBAH DOS UBAT TANPA NASIHAT DOKTOR